Isnin, 23 Julai 2012

PENGARUH WANG DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera untuk semua..

Selepas beberapa bulan tidak mengisi ruangan blog ini dek kerana kesibukan kerja dan urusan-urusan peribadi, saya terpanggil untuk menulis tentang pengaruh wang dalam kehidupan seharian kita.

          Matawang mula diperkenalkan kepada dunia oleh China pada Dinasti Tang pada abad ke-7 melalui resit saudagar deposit semasa Dinasti Tang (618-907 masihi). Sehingga kini terdapat 182 matawang yang digunakan termasuk matawang-matawang utama seperti Dollar dan Euro.

           Antara sedar atau tidak, kehidupan seharian kita sedikit sebanyak bergantung kepada jumlah wang yang kita ada. Untuk kebanyakan orang,jika wang yang ada tidak mencukupi bagi menampung keperluan seharian, pasti sesorang itu berada dalam kerisauan, sugul, dan tidak dapat hidup seperti biasa. Begitu juga sebaliknya. Disini jelas bahawa wang itu sendiri mempengaruhi hidup kita seharian. Apabila begitu, sudah tentu wang juga mempengaruhi sikap, keperibadian dan cara orang berfikir.

          Kehidupan seharian membuktikan bahawa kebanyakan mereka yang kaya akan memandang rendah pada si miskin dan sebaliknya si miskin akan memandang tinggi pada yang kaya. Jelas sekali wang sebenarnya mengubah fitrah manusia secara haknya. Ini kerana pada kacamata Islam, kita semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh seperti yang diucapkan Rasulullah S.A.W dalam khutbah baginda yang terakhir. Cuba pula kita lihat kaum orang asli yang belum terjejas dek arus kemodenan, komuniti yang tidak pernah bercampur dengan kehidupan luar dan masih hidup dalam komuniti mereka sahaja. Mengapa mereka boleh hidup bahagia seadanya tanpa memikirkan yang mereka sebenarnya tiada wang? Lihat pula golongan-golongan elit yang meninggalkan harta yang cukup untuk menampung kehidupan mereka untuk dua atau tiga generasi berikutnya. Anak-anak mereka tidak perlu gigih berusaha untuk mendapatkan wang. Cukup sekadar menyambung legasi empayar milik keluarga mereka dengan berfoya-foya tanpa bersusah payah. Pada hak, mereka yang miskin lebih berhak hidup mewah kerana bersusah payah membanting tulang seharian. Begitu juga anak-anak si kaya sebenarnya tiada hak untuk hidup mewah kerana mereka sebenarnya tidak pernah berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka miliki sekarang. Jelas sekali begitu besar impak wang dalam kehidupan manusia.




          Sifat manusia juga sedikit sebanyak berkait dengan wang. Lihat sahaja perbezaan cara mereka yang kaya berjalan berbanding dengan si miskin. Itu belum lagi cara makan dan gaya hidup sosial seharian. Bagi sesetengah orang, mereka lebih selesa pergi ke rumah orang yang lebih kaya berbanding bercampur dengan orang yang lebih miskin. Pada hakikatnya, keselesaan kita untuk bergaul dengan seseorang bergantung kepada layanan dan penghormatan yang diberi oleh seseorang. Dalam hal ini, kebiasaannya si miskin sebenarnya lebih menghormati tetamu berbanding dengan yang kaya. Tapi kenapa ramai yang lebih suka memilih untuk bergaul dengan yang kaya? Jawapannya mudah. Situasi ini dipengaruhi oleh wang. Sudah menjadi kebiasaan yang kita dengar sahabat bergaduh disebabkan wang, keluarga porak peranda disebabkan harta dan syarikat kerugian disebabkan penyelewengan. Mengapa ini perlu berlaku sedangkan wang itu sebenarnya alat ciptaan manusia yang digunakan seharian. Tidakkah kita perlu menghargai seseorang itu tanpa melihat kepada alat yang dipanggil wang ini? Tidakkah kita perlu merasa bahagia bila kita di kelilingi mereka yang menghormati kita, menyayangi kita dan menerima kita seadanya tanpa sedikitpun disebabkan faktor kewangan? Begitu juga cara untuk kita memberi penghormatan dan kasih sayang. Ingat, si miskin juga perlu dihormati dan disayangi selagi dia menghormati orang lain.

          Kesimpulannya, jangan sesekali biarkan wang mempengaruhi kita. Jangan rasa susah jika tidak kaya. Sebaliknya hargailah apa yang kita miliki. Keluarga, sahabat, orang yang disayangi itu sebenarnya lebih bernilai dari kekayaan. Apa guna hidup dalam kemewahan dengan dikelilingi dengan mereka-mereka yang hipokrit. Tidakkah kita lebih menghargai orang-orang yang bersama kita disaat kita tidak memiliki apa-apa.. 

― Mohd S Ismail